Tuesday, June 28, 2011

SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB DALAM BIDANG PENTADBIRAN DAN PENDIDIKAN

SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB                                                            DALAM BIDANG PENTADBIRAN

a) Pembentukan Majlis Syura

Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar. Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada negara dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah
Beberapa prinsip syura yang diutamakan oleh Khalifar Umar Al-Khattab.
Antaranya ialah;
1.    Syura adalah hak pemerintah dan rakyat. Hak ini adalah sama, tidak ada pihak yang berlebih.
2.    Kewajipan pemerintah bermesyuarah  dengan rakyat dan rakyat wajib memberi kerjasama yang diperlukan.
3.    Syura adalah bersendikan keikhlasan, semata-mata untuk menegakkan kebenaran dan keadilan Islam.
4.    Syura bukanlah kebulatan suara. Keputusan adalah adalah pendapat rakyat terbanyak setelah bertukar-tukar fikiran secara ikhlas.
5.    Semua golongan adalah wajib melaksanakan atau mentaati keputusan musyawarah yang telah dibuat, termasuklah golongan yang telah dikalahkan suaranya.

b) Membahagikan Wilayah-Wilayah Islam
Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ash, Mughirah b. Syu’bah dan Zaid b. Sumyah. Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam.

c) Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah
Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam  negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan  dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai.  Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.
SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB                                                            DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Dalam usaha mengembangkan peluasan penyebaran agama dan pendidikan Islam, para ulama’ dan mubaligh di hantar ke segenap pelusuk wilayah kekuasaan Islam. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al- Khattab, beliau telah menghantar Abdullah bin Mas’ud ke Kufah dan Abu Musa Al- Asy’ari ke Basrah di negeri Iraq.
Sejarah menceritakan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al- Khattab, negeri- negeri Parsi, Syam, Mesir dan seluruh Semenanjung Tanah Arab berjaya ditakluki. Masjid- masjid didirikan di semua kampung sebagai tempat ibadat dan pusat pendidikan Islam. Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai  tempat umat Islam untuk mengerjakan ibadat atau amalan fardu, tetapi tempat mengajar ilmu- ilmu, hukum- hukum dan ajaran Islam kepada pengunjung dan umat Islam yang dahagakan petunjuk dan bimbingan daripada para ulama’ dan cendikiawan Islam.
Di antara tokoh- tokoh Islam yang menyampaikan ilmu pengetahuan Islam kepada umat Islam secara sukarela dan berterusan selepas kewafatan nabi dan pemerintahan Khulafa’ Rasyidin. Antaranya ialah Abdullah bin Umar, Zaid bin Thabit, Jabir bin Abdullah dan Siti Aisyah yang mengajar di Masjid Madinah. Abdullah bin Abbas mengajar di Masjid Mekah. Abdullah bin Mas’ud pula mengajar di Masjid Kufah. Abu Musa Al- Asy’ari mengajar di Masjid Basrah dan Abu Al- Darda’ di Masjid Damsyik.
Sumbangan Khalifah Umar dalam bidang pendidikan memang tidak boleh dipandang ringan dan dipandang  begitu sahaja. Beliau telah mendirikan pusat- pusat pengajian Islam di kota- kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru- guru agama telah dihantar ke pusat- pusat ini sedangkan imam- imam pula dihantar ke masjid- masjid.
Asas pendidikan Islam yang disebarkan oleh mubaligh  dan para ulama’ pada zaman Umar pastinya berasaskan dan berteraskan Al- Quran dan Hadis. Begitu juga masalah rukun- rukun Islam, Iman, Ihsan dan seumpamanya yang mendasari kehidupan umat Islam.  Inilah di antara isu- isu yang dibicarakan oleh para ulama’ ketika mengembangkan Islam sama ada di zaman Umar atau zaman sekarang.
         Seorang tokoh pendidikan Islam yang terkenal di tanah air, Dr. Hassan Langgulung menyatakan “ bercakap tentang institusi pendidikan dalam konteks sejarah tamadun Islam tidak dapat tidak kita harus bercakap tentang prinsip dasar ajaran Islam yang termaktub di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Umar al- Khattab yang bermaksud:
Dari Umar bin Al Khattab r.a., katanya: Pada suatu hari, semasa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki:  Putih melepak pakaiannya, hitam legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (sebagai seorang pengembara), dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya; (demikianlah halnya) sehinggalah ia duduk mengadap Nabi s.a.w. lalu ia menemukan kedua lututnya kepada kedua lutut Baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pahanya serta berkata:  "Wahai Muhammad! Beritahulah kepada ku tentang (dasar-dasar) Islam(1)?" Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "(Dasar-dasar) Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadat (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan engkau mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta berpuasa pada bulan Ramadan dan juga engkau mengerjakan Haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya." (Mendengarkan penerangan Baginda yang demikian) ia berkata:  "Benarlah apa yang kamu katakan itu!" Kata Umar: Maka kami merasa hairan terhadap orang itu - ia bertanya kepada Baginda dan ia juga mengesahkan benarnya (sebagai seorang yang mengetahui perkara yang ditanyakannya itu). Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang iman(2)?" Nabi s.a.w. menerangkan:  "(Iman itu ialah) engkau beriman kepada Allah,  Malaikat MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, serta Hari Akhirat; dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) - baiknya dan buruknya." (Mendengarkan yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang kamu katakan itu." Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang ihsan(3)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakan ibadat kepada Allah Taala seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaanmu)(4), kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah Taala tetap memerhatikankeadaan mu." Kemudian orang itu bertanya lagi: "(Selain itu) maka beritahulah kepada ku tentang (masa berlakunya) hari qiamat?" Nabi s.a.w.menjawab:  "Orang yang ditanyakan mengenai hal itu bukanlah seorang yang lebih mengetahui dan yang bertanya." Orang itu bertanya lagi: "Jika demikian maka beritahulah kepada ku tentang tanda-tanda kedatangan hari qiamat itu?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Tanda-tanda itu ialah engkau akan dapati) adanya hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya dan engkau akan melihat orang-orang (penduduk desa) yang berkaki ayam, yang tidak berpakaian sempurna,  yang miskin menderita, yang menjadi gembala kambing bermegah-megah dan berlawan-lawan antara satu dengan yang lain dalam perkara membina bangunan-bangunan yang tinggi. " Umar berkata: Kemudian orang itu pun pergilah, maka tinggallah aku beberapa hari (memikirkan halnya dan hendak mengetahui siapa dia).
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, sabdanya: "Wahai Umar! Tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu?" Aku menjawab:  "Allah dan RasulNya jualah yang mengetahui. " (Pada saat itu) Rasulullah s.a.w. menerangkan:
"Orang itu ialah Jibril, ia datang untuk mengajar kamu akan agama kamu."
(Muslim)

Dr. Hassan Langgulung merumuskan, daripada hadis di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa inti ajaran Islam terhimpun di dalam tiga perkara iaitu yang pertama Rukun Islam merangkumi dua kalimah Syahadah, sembahyang fardu lima waktu, puasa, zakat, dan haji. Selain itu, Rukun Iman merangkumi  beriman kepada Allah, Rasul- rasul, malaikat- malaikat, kitab- kitab, hari akhirat dan qada’ dan qadar. Dan yang ketiga ialah Ihsan iaitu menyembah Allah seolah- olah kita melihat-Nya, kerana walaupun kita tidak melihat-Nya, tetapi Dia melihat kita.
Ketiga- tiga perinsip dasar yang sering dikatakan sebagai institusi yang mempengaruhi tingkah laku manusia baik secara sosial mahupun individual inilah antara perkara yang cuba diserapkan dan disebarluaskan oleh Khalifah Umar Al- Khattab kepada sekalian rakyatnya termasuk para pejuang dan tentera Islam yang berjuang di baris depan yang berusaha memerangi keangkuhan Empayar Rom dan Parsi.
Khalifah Umar juga mendidik para tentera Islam agar melakukan sembahyang fardu jemaah dalam susunan yang teratur demi memastikan pertolongan Allah akan tiba dan perjuangan mereka di medan perang akan perolehi kemenangan.
Demikian juga dikatakan bahawa Khalifah Umar sering  menasihati dan memperingati para panglima dan tentera Islam iaitu : jangan kamu membunuh orang lemah, wanita dan kanak- kanak. Berhati- hatilah kamu supaya kamu jangan sampai membunuh mereka dalam masa pertempuran dan ketika serangan.
Begitulah betapa halusnya perhatian Umar al- Khattab kepada umat islam agar mencintai ilmu pengetahuan, berjihad dan berhati- hati ketika melancarkan serangan ke atas tentera musuh agar golongan yang lemah dan tidak berdaya tidak diserang. Ini menandakan sifat beliau yang berkeperimanusiaan dan zuhud yang tiada tandingannya dulu mahupun sekarang.
Khalifah Umar al-Khattab juga sering memperingatkan umat Islam agar menghargai masa dan tidak membuang masa dalam hidup ini dengan melakukan kerja- kerja yang tidak berfaedah sama ada untuk kepentingan dunia dan akhirat.
Sehubungan dengan ini, saidina Umar Al- Khattab berkata’ “ aku tidak suka melihat kamu membuang masa. Tiada amalan dunia dan akhirat yang dikerjakan”.
Sahabat bertanya apa maksud membuang masa itu, beliau menjawab, “ membuat kerja- kerja yang tidak berfaedah. Pada hari ni banyak kerja- kerja begini dilakukan”.
Sayyid Sabiq dalam tulisannya merumuskan maksud Saidina Umar itu dan mengaitkan hal itu dengan keadaan masa kini seperti katanya, “kerajaan- kerajaan kita menggalakkan anak- anak muda kita sibuk dengan filem- filem, nyanyian, dan bola yang menyebabkan mereka lupa kan tanggungjawab mereka. Ulama’ pula mengeluarkan atau mengemukakan perkara yang remeh temeh sebagai perkara penting. Setiap warganegara bekerja 12 jam sehari semalam di bidang perindustrian dan pertanian. Ini menghasilkan pendapatan yang banyak. Ekoran daripada itu mereka berfoya- foya dan bersuka ria dengan hiburan. Kesungguhan mereka bekerja tidak memberi kesan yang baik kepada mereka sebaliknya kesan yang negetif di dalam kehidupan mereka( beragama mereka).
Sesungguhnya Saidina Umar seorang khalifah yang sangat menitikberatkan dalam masalah membanteras kemungkaran, walau sekecil- kecil kemungkaran. Ini kerana kemungkaran itu dianggap sebagai penyakit yang berjangkit dan takut ia akan merebak kepada orang lain.
Telah berlaku suatu peristiwa yang meragukan bersangkutan masalah agama di zaman pemerintahan Khalifah Umar, di mana seorang lelaki telah menjumpai sebiji buah ( amat kecil) di atas tanah lalu diambilnya dan berkata, “siapa yang kehilangan buah ini?” berkata Saidina Umar, “semua orang! Wahai tuan yang warak diikuti dengan isyarat yang menunjukkan siapa pun boleh mengambilnya”.
Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita semua umat Islam hari ini untuk mendidik masyarakat berasaskan dasar- dasar prinsip hidup Islam dan membanteras kemungkaran yang terjadi di depan mata dengan kemampuan dan kudrat yang terdaya daripada berjangkit dan merebak.     

0 comments:

Post a Comment