Tuesday, June 28, 2011

SECARA RINGKAS BERKENAAN DENGAN SUNAN NASA'I


RIWAYAT HIDUP

Nama sebenar Imam Al- Nasa’I ialah Abu ‘Abd al –Rahman bin Syu’aib  al – Nasa’i  al- Kurasani. Beliau adalah seorang Imam Hadith dan seorang penghafal hadith yang hebat. Al-Nasa’I dilahirkan pada tahun 215 H di sebuah kampong yang bernama Nasa yang terletak di pinggir Bandar Kurasan.
            Setelah meningkat remaja, beliau gemar menggembara untuk mendapatkan hadis. Walaupun ketika itu umurnya belum cukup 15 tahun namun atas kesungguhan dan ketabahan beliau dalam mencari ilmu tidak menjadi penghalang kepadanya untuk bermusafir ke Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan Jazirah. Di sanalah beliau menimba segala ilmu hadis dari guru-guru yang alim dalam ilmu hadis sehinggalah beliau menjadi seorang yang sangat alim dalam bidang ilmu hadis.
Imam Nasa’I berasa gembira menetap di Mesir dan oleh itu, beliau terus menetap di sana di jalan Qanadil. Kemudia beliau berpindah ke Damsyik, maklumlah sebagai seorang yang tinggi imunya semestinya dia akan mengembangkan ilmunya kepada orang lain.
Imam Nasa’I meninggal dunia di Ramallah, Palestin pada hari Isnin 16 Safar, tahun 303 H bersamaan 915 M semasa berusia 88 tahun dan beliau dimakamkan di Baitul Maqdis. Beliau lebih terkenal dengan panggilan al – Nasa’i, kerana mengambil sempena tempat kelahirannya. Walaupun beliau wafat akan tetapi ilmunya dalam bidang ulum hadis tetap berkembang kerana belau menpunyai anak murid yang ramai untuk menyambung perjuangannya dalam bidang ilmu hadis.


PENDIDIKAN IMAM AN NASA’I

Sejak kecil lagi Imam Nasa’i menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa dan semangat mencintai ilmu pengetahuan yang sangat tinggi. Beliau sering berbincang dengan ulama sezaman dengannya, walaupun ketika itu umurnya masih terlalu muda.
Ketika berusia kurang dari 15 tahun, beliau menjelajah dan mengembara ke serata daerah dan negeri untuk menimba ilmu dan belajar daripada ulama yang ada pada waktu itu. Antara daerah dan negeri yang pernah beliau pergi ialah Khurasan, Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan Jazirah.
Beliau kemudiannya menetap di Mesir sehingga tahun 302 H dan kemudiannya berpindah pula ke Damsyik sehinggalah beliau meninggal dunia di Ramallah, Palestin. Beliau mempelajari dan mengambil hadis daripada ulama dan ahlul hadis pada waktu itu. Berkat usaha dan kesungguhannya serta anugerah kepintaran yang ada pada diri beliau, dalam masa usia yang masih muda beliau telah dapat menguasai hampir semua ilmu yang dipelajarinya dan il yang ada pada waktu itu. Beliau mempelajari entang hadis beserta sanad dengan mendalam.
Antara guru yang mengajar hadis kepada Imam Nasa’i ialah, Qutaibah bin Said, Ishaq bin Rahawaih, Hisyam bin ‘Ammar, Abu Daud, al- Tirmizi, Ishaq  bin Syahin, Suwaid bin Nasr, Ziyad bin Ayyub, Mahmud bin Ghaylan, Ishaq bin Musa al-Ansari dan Ibrahim bin Said al- Jawhari.
Selain itu, terdapat juga beberapa orang meriwayatkan hadis daipada beliau antaranya, Sulaiman bin Ahmad al-Tabarani, Abu Ja’far al- Tahawi, Abu Ali al- Naisaburi, al-Hasan bin Rasyiq dan Abyad bin Muhammad bin Abyad



SIFAT-SIFAT IMAM NASA’I

Menurut riwayat Imam al- Nasa’i ialah seorang lelaki yang tampan dengan warna kulitnya yang kemerah-merahan. Beliau merupakan seorang yang alim dan terkenal akan tetapi pakaiannya jelas menunjukkan kezuhudan beliau. Beliau juga seorang yang kuat beribadah kepada Allah SWT baik di waktu malam atau siang hari dan selalu melakukan ibada haji dan berjihad.
Beliau sering kali ikut serta berjihad dan bertempur bersama-sama dengan gabenor Mesir. Mereka mengakui bahawa Imam Nasa’i mempunyai semangat kepahlawanan yang tinggi serta keberaniannya yang luar biasa. Beliau juga mempunyai sikap yang konsisten yang berpegang teguh dengan sunnah dalam menangani masalah penebusan kaum muslimin yang ditangkap musuh.
Selain itu, beliau bukan pakar dalam menghafal hadis, mengetahui para perawi dan kelemahan-kelemahan hadis yang diriwayatkan, akan tetapi beliau juga adalah ahli fiqh yang berwawasan luas.
Imam Daraqutni pernah berkata mengenai Nasa’i bahawa dia adalah seorang syaikh di Mesir yang paling alim dalam bidang fiqh pada masa itu dan paling mengetahui tentang hadis dan perawi-perawi. Selain itu, Ibnu Asirr al-Jaizari mnerangkan dalam mukadimah Jami’ul Usul-nya, bahawa Nasa’i bermazhab Syafi’i dan beliau mempunyai kitab Manasik yang ditulis berdasarkan mazhab Syafi’i.






METOD PENULISAN SUNAN AN NASA’I

Pada mulanya, Kitab Sunan an-Nasa’I adalah ringkasan dan tapisan daripada kitabnya yang asal bernama: as-Sunan al-Kubra. Ia adalah sebuah kitab yang lengkap, padat dan menghimpunkan semua jalan periwayatan sesebuah hadis dengan dotakhrij dan dijelaskan kedudukan matan dan sanadnya.
            Selepas dibuat tapisan, diringkaskan dan menggugurkan hadis-hadis yang ada cacatnya, beliau menamakan kitabnya dengan: al-Mujtaba atau al-Mujtana. Namun yang lebih masyhur ialah nama: al-Mujtaba, iaitu Sunan an-Nasa’i.
            An-Nasa’i menyusun Kitab Sunannya itu dengan mengikut tajuk ilmu Fiqh. Beliau telah membahagikan Kitab Sunannya kepada 51 Kitab dan dipecahkan kepada bahagian kecil yang dinamakan Bab. Sunannya mengandungi sejumlah 5761 buah hadis kecil mengikut susunan ‘Abd al-Fatah Abu Ghuddah.
            Antara ciri dan syarat yang dikenakan oleh an-Nasa’I di dalam penyusunan Kitab Sunannya ialah hadis itu mestilah diriwayatkan daripada perawi yang berdasarkan kepada ijma’ para Fuqaha’. Selain itu, dalam mengumpul hadis, imam an-Nasa’I akan mencatat rantaian-rantaian sanad yang berlainan bagi sesebuah hadis, kemudiannya beliau menjelaskan mana yang benar di antara rangkaiannya tersebut. Di samping itu, sekiranya terdapat sanad yang tidak benar,an-Nasa’I akan menjelaskan sebab dan punca kecacatannya. Untuk itu, di dalam Kitab Sunan an-Nasa’I terdapat hadis Sahih, Hasan dan Da’if. Walaupun di dalam kitab Sunan an-Nasa’i terdapat hadis Da’if, namun hanya segelintir sahaja Hadis Da’if yang dikumpulkannya.



KEDUDUKAN DAN KEISTIMEWAAN SUNAN AN NASA’I

Sunan an-Nasa’I atau al-Mujtaba termasuk salah sebuah kitab yang paling sedikit memuatkan hadis-hadis Da’if. Sunan an-Nasa’i adalah sebuah kitab hadis yang penting, Imam al-Subki berpendapat: Imam an-Nasa’i lebih banyak menghafaz hadis-hadis berbanding Imam Muslim. Sunannya menduduki tempat ketiga selepas Sahih al-Bukhari dan Muslim dari segi kurangnya bilangan Hadis Da’if. 
            Menurut, pendapat al-Hakim dan al-Khatib, syarat perawi hadis di dalam sunan an-Nasa’I lebih kuat berbanding dengan syarat perawi hadis di dalam Sahih Muslim.
            Konteks lain, Bab Haji yang terdapat di dalam Sunan an-Nasa’i adalah mazhab as-Syafi’i. Kerana beliau juga dikatakan berpegang kepada mazhab as-Syafi’i.


SUMBANGAN DAN ULASAN SUNAN AN NASA’I

An-Nasa’i telah mengarang beberapa karya , antara yang terbesar ialah as-Sunan as-Sughra, as-Sunan al-Kubra, Kitab at-Tamyiz, Kitab ad-Du’afa’, Khasa’is Ali, Musnad Ali, Musnad Malik dan Manasik al-Haj.
            Ramai dalam kalangan ulama dan Ahli Hadis yang membuat ulasan terhadap kitab Sunan an-Nasa’i. Antara mereka ialah Zahr ar-Ruba ‘ala al-Mujtaba, karya Jalan ad-Din as-Suyuti (m. 911 H), Sahih wa Da’if karya Syeikh al-Albani (m. 1999 M), dan Syarh as-Sanadi, karya Muhammad Sadiq bin ‘Abd al-Hadi al-Madani al-Hanafi (m. 1138 H).


SEKILAS TENTANG IMAM NASA’I

Imam Nasa’i menerima hadis dari sejumlah guru yang terkemuka. Di antaranya ialah Qutaibah Imam Nasa’i Sa’id. Beliau menemui Qutaibah ketika berumur 15 tahun, dan selama 14 bulan belajar dia dapat menguasai ilmu yang di sampaikan Qutaibah.
Ketika Imam Nasa’i selesai menyusun kitabnya, as Sunan ul- Kubra, beliau terus menghadiahkannya kepada Amir ar- Ramlah. Selepas itu Amir bertanya mengenai isi kitab yang dikarangnya. Maka Imam Nasa’i memberitahu bahawa dalam kitab tersebut ada yang sahih, ada yang hasan dan ada pula yang hampir serupa dengan keduanya.
Kemudian Amir meminta agar Imam Nasa’i memisahkan hadis-hadis terbabit dan kumpulkan yang sahih sahaja. Maka Imam Nasa’i pun memilih hadis-hadis yang sahih dan menghimpunkannya kedalam satu kitab yang dinamakan as-sunan us-sughra. Kitab ini disusun menurut sistematika fiqh sebagaimana kitab-kitab Sunan yang lain.
Imam Nasa’i sangat teliti dalam menyusun kitab Sunan us-sughra.Ini kerana menurut para ulama’ kedudukan kitab sunan sughra ini di bawah darjat Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, kerana terdapat sedikit sahaja hadis dha’if dalamnya.
Oleh kerana itu, Imam As-Suyuti telah menyanggah pandangan Abul Faraj ibnu al-Jauzi yang mana mengatakan bahawa hadis-hadis yang terdapat dalam sunan us-sughra adalah maudhu’. Para ulama bependapat bahawa dalam sunan us-sughra terdapat hadis sahih, hasan dan dhaif akan tetapi hanya sedikit sahaja hadis yang dhaif. 

0 comments:

Post a Comment