Tuesday, June 28, 2011

QADARIAH

Qadariah
Merupakan golongan yang menyatakan perbuatan itu daripada hamba bukannya daripada Allah. Fahaman ini muncul apabila mereka menyeleweng hadis Nabi Muhammad yang berpesan supaya jangan terlalu banyak membicarakan mengenai qada’ dan qadar sehingga dipengaruhi oleh syaitan.

Faktor lain yang mempengaruhi pemikiran umat Islam adalah hasil percampuran umat Islam dengan umat lain dan galakan menterjemahkan buku-buku asing tanpa batasan.Menurut para sarjana sejarah Islam, antara orang pertama yang menimbulkan fahaman Qadariah adalah, Ma’abad al- Juhani. Al-Zahabi menyebut di dalam bukunya Mizan al-Iktidal, pada peringkat awal, Ma’abad adalah sarjana tabiin yang dipercayai.

 Namun, dia membawa ajaran yang terpesong kerana menjadi orang yang pertama menyeleweng mengenai qadar. Seterusnya ialah, Ghilan al-Dimasyqi. Dia mengikut fahaman ini dan meneruskan penyebarannya selepas Ma’abad iaitu pada zaman Umar bin Abdul Aziz. Mendengar fahaman Ghilan, khalifah Umar memanggilnya supaya berdebat dengan Imam al-Auza’ i. Akhirnya dia menyerah kalah.

Namun, selepas khalifah Umar meninggal dunia, dia kembali semula menyebarkan ajarannya. Khalifah Hisyam bin Abdul Malik memanggilnya supaya berdebat dengan Imam al-Auza’i. Kali yang kedua dia menyerah kalah. Walau bagaimanapun, dia berdegil menyebarkan ajarannya. Akhirnya, khalifah Hisyam memerintah supaya dia ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh.

 Fahaman ini tidak mati dengan matinya Ghilan. Ia masih terus disebarkan di tengah-tengah masyarakat Islam dan berkembang bebas. Ibnu Nabatat menyebut dalam bukunya Syarah al-Ubun, “Orang yang pertama bercakap dengan fahaman Qadariah adalah orang Nasrani yang memeluk agama Islam dari negeri Iraq. Kemudian dia murtad (keluar Islam) dan kembali pada agama Nasrani. Fahaman Qadariah berpecah kepada dua golongan.


Al-Khabitiah:
Merupakan pengikut Ahmad bin Khabit. Pada mulanya dia adalah pengikut fahaman Muktazilah. Fahamannya melampau sehingga membawa fahaman tansukh (berpindah roh) dan bertuhankan Nabi Isa. Antara ajarannya adalah menyatakan alam ini ada dua pencipta. Pertama adalah qadim, iaitu Allah dan yang kedua adalah makhluk, iaitu Nabi Isa. Alasannya Nabi Isa digelar Rahmatullah. Pendapat ini juga diikut oleh Fadhlu al-Hadisi. Kedua, sependapat dengan Fadlu al-Hadisi yang menyatakan maksud Nabi Isa adalah anak Allah bukan bermaksud beliau diperanakkan. Nabi Isa juga akan menghitung manusia pada hari kiamat nanti, dia datang dengan diiringi oleh para malaikat. Ketiga, setiap jenis haiwan itu adalah satu umat dan setiap umat itu ada rasul masing-masing dari kalangan jenisnya. Keempat, menganut fahaman tanasukh iaitu berpindahnya ruh kepada jasad yang lain. Ia adalah ajaran yang berasal daripada agama Hindu, Greek dan kemudian mempengaruhi agama Kristian. Apabila mereka menganut dan berpegang dengan fahaman yang disebut di atas maka para sarjana Islam menghukumkan mereka keluar daripada agama Islam.

Al-Hamariah:
Golongan ini pada mulanya menjadi pengikut Jaafar as-Sadiq semasa al-Hasan yang menjadi salah seorang imam mazhab Imamiah masih hidup. Tidak lama kemudian mereka meninggalkan al-Hasan kerana dia tidak mempunyai ilmu dan kelayakan menjadi imam adalah terbatal. Seterusnya mereka menganut fahaman Qadariah dengan menafikan qadak dengan qadar daripada Allah. Selain itu, mereka juga menganut beberapa fahaman yang lain. Antaranya adalah,mereka mengambil fahaman Abad bin Sulaiman al-Damari yang berkata, “Golongan yang Allah laknat menjadi kera dan babi terus kufur selepas berlakunya kejadian itu.” Seterusnya, mengambil fahaman al-Ja’d bin Darham yang menyatakan berfikir itu mewajibkan makrifat. Mereka beralasan makrifat itu adalah perbuatan yang tiada pembuatnya. Terakhir, menyatakan manusia itu boleh menciptakan haiwan. Caranya adalah mengambil daging kemudian membiarkannya di tengah cahaya matahari atau ditanam kedalam tanah. Apabila daging itu menjadi ulat, mereka mendakwa mereka yang menciptanya. 

0 comments:

Post a Comment