Tuesday, June 28, 2011

MENGUMPAT

MAKSUD MENGUMPAT

Mengumpat adalah bercerita tentang keburukan orang lain dengan tujuan menjatuhkannya. Rasullah (S.A.W) telah memberi pengertian mengumpat sebagai apabila engkau menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang tidak disukainya.marah benci dan sebagainya..

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Apakah kamu sekelian tahu apa itu ghibah (mengumpat)? Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu.” Lalu Nabi bersabda: “Kamu menceritakan sesuatu tentang diri saudara kamu yang ia tidak sukai.” Salah seorang sahabat bertanya: “Bagaimana pendapat tuan hamba, jika apa yang saya perkatakan itu memang ada pada diri saudara saya. Baginda menjawab: “Walaupun apa yang kamu perkatakan itu memang ada pada diri saudara kamu, ia tetap ghibah terhadapnya. Dan sekiranya tidak ada maka engkau telah melakukan dusta terhadap dirinya.” (Riwayat Muslim).

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
(Surah al- Hujurat: ayat 16)

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. 

Maksudnya: Janganlah kamu menyebut  keburukan seseorang  yang dia benci jika mengetahuinya. Larangan "menyebut" disini bukan hanya terbatas pada ucapan lisan tetapi juga termasuk dalam bentuk tulisan dan isyarat. Dan maksud "yang dia benci" disini mencakupi tentang agamanya, dunianya, akhlaknya, rupanya, hartanya, anaknya, isterinya, suaminya, khadamnya, pakaiannya, perhiasannya dan lain-lain. 

LARANGAN DAN ANCAMAN DARIPADA ALLAH TERHADAP PENGUMPAT.

Larangan terhadap  mengumpat sangat keras  dan tegas. Ini dapat dilihat di dalam Al- Quran yang mana  Allah menyerupakan perbuatan ghibah (mengumpat) dengan memakan daging manusia yang sudah menjadi bangkai.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Setiap harta, kehormatan dan darah seorang muslim adalah haram atas Muslim lainnya. Cukup buruklah seseorang yang merendahkan saudaranya sesama Muslim.”

Dalam sebuah hadis dinyatakan berkaitan dengan keburukan mengumpat sebagaimana sabda Nabi s.a.w.
“Mengumpat atau membicarakan aib orang lain itu lebih teruk dosanya daripada perbuatan zina. Mereka(para sahabat) bertanya: “Mengapa demikian wahai Rasulullah?” Nabi bersabda: “Orang lelaki berzina lalu ia bertaubat, maka Allah akan mengampuninya. Adapun orang yang mengumpat, tidak akan diampuni, kecuali orang yang diumpat itu memaafkannya terlebih dahulu. “Manakala balasan yang disediakan untuk orang mengumpat ialah sebagaimana sabda Nabi maksudnya: “Orang-orang yang mengumpat, orang-orang yang mencela dan orang yang melaga-lagakan orang serta orang yang membuat hina atau cela terhadap orang yang bersih daripada sifat keji atau cela itu. Maka nanti di hari Kiamat mereka semua akan dikumpulkan atau himpunkan dalam rupa anjing”.

Antara lain, orang yang mengumpat itu akan diambil pahala dan kebajikan yang dia lakukan serta diberikan kepada orang yang diumpatnya pada hari kiamat nanti sebagai balasan.






ANTARA SEBAB KENAPA MENGUMPAT DIHARAMKAN

Islam melarang keras perbuatan menghina, mencela, memfitnah orang lain kerana dengan perbuatan-perbuatan itu boleh menyebabkan putusnya hubungan persaudaraan. Perbuatan seumpama itu boleh menjatuhkan maruah orang yang terlibat. Malah perbuatan seperti ini amat tidak sesuai sama sekali dengan orang beriman, kerana orang beriman itu hendaklah sentiasa menyedari dirinya juga lemah, kurang dan ada keburukan. Namun orang yang tidak beriman atau tidak benar-benar beriman sahaja yang lupa diri dan sengaja atau sentiasa mencari kelemahan dan mendedahkan keburukan atau kelemahan orang lain.

Mengumpat adalah satu sikap daripada beberapa sifat akhlak buruk yang harus dihindarkan daripada menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.”
Sesiapa sahaja yang sengaja mencari jalan kelemahan seseorang yang lain dan mengintai-intai keaiban orang lain, sesungguhnya orang itu tidak dijamin keselamatannya. Sebaliknya bukan keaiban orang yang disebarnya terdedah kepada orang tetapi keaibannya juga akan terbuka dengan sendirinya.
Allah akan mendedahkan kelemahan di dalam lingkungan rumah tangganya sebagai balasan ke atasnya yang suka mencari-cari kelemahan dan aib orang lain.

Rasulullah s.a.w. sentiasa berdoa agar lisannya digunakan dalam hal-hal yang baik. Lisannya tidak pernah digunakan untuk memfitnah atau mengumpat, menyinggung perasaan orang lain, kata-kata kasar atau kotor atau untuk menghina orang lain.
Ketika kita berbeza pendapat apa yang harus dilakukan ialah selalu memegang teguh etika Islam iaitu tidak menghilangkan etika bicara yang baik dan sopan. Perkataan yang baik atau sopan merupakan kunci pergaulan yang boleh mengeratkan tali persahabatan yang abadi.




Di dalam al-Quran disebut dengan bermacam-macam istilah termasuk Qaulan maruf (perkataan yang baik) Surah al-Nisa:5; Qaulan baligha (perkataan yang menyentuh perasaan) Surah al-Nisa: 63; Qaulan sadida (perkataan yang lurus dan bermakna) Surah al-Ahzab: 70; Qaulan karima (perkataan yang mulia) surah al-Isra: 23; Qaulan ahsan (perkataan yang terbaik) surah Fuhshilat: 33; Qaulan layyina (perkataan yang lemah lembut) surah Thaha: 44; Qaulan azhima (perkataan yang agung) surah al-Isra: 40; Qaulan thayyib (perkataan yang bersih/baik) surah al-Hajj: 24.
Kita sesama Islam hendaklah menjaga dan mempertahankan nama baik dan kehormatan sesama Muslim.















ANTARA SEBAB- SEBAB MENGAPA BERLAKUNYA MENGUMPAT 
  

Ada beberapa perkara yang menarik orang kepada suka mengumpat, di antaranya:
  
Pertama: Untuk memuaskan hati, iaitu apabila berlaku sesuatu sebab yang menaikkan kemarahannya, kerana manusia tatkala sedang meluap-luap kemarahannya, hatinya akan merasa puas bila ia dapat menyebut-nyebut keburukan-keburukan orang yang dimarahinya itu. Maka tanpa disedari lidahnya akan menyebut segala yang bukan-bukan ini sekiranya jiwa orang itu tidak dapat dikendalikan oleh jiwa agama. Adakalanya pula seseorang itu dapat mengontrol dirinya ketika dalam kemarahan, akan tetapi dipendamkan kemarahan itu dalam hatinya, sehingga lama-kelamaan menjadi dengki dan dendam khusumat dan akhirnya ia akan tertarik juga kepada sifat mengumpat dengan menyebut-nyebut keburukan orang yang dimarahinya itu.

Pendek kata kedengkian yang menyebabkan dendam khusumat dan kemarahan itu adalah pendorong yang utama kepada sifat ghibah atau pengumpatan.
  
Kedua: Menurutkan kemahuan sahabat handai dan membantu mereka dalam memperkatakan perihal orang lain. Seringkali berlaku ketika berlucu dan bersenda gurau itu, diperbualkanlah tentang hal-ehwal dan urusan orang lain, maka ia akan menjadi serba salah, andaikata ia mengingkarkan kelakuan itu ataupun ia meninggalkan majlis mereka, tentulah rakan handainya akan merasa kurang senang terhadapnya dan mereka akan menyingkirkannya sama sekali. Oleh itu diturutkanlah kemahuan mereka itu, malah ia juga turut campur sekaki dalam celaan dan pengumpatan. Pada anggapannya, sikap itu adalah untuk menjaga perhubungan baik dengan kawan-kawan, tetapi tanpa disedarinya, ia telah tercebur ke dalam bahaya dosa kerana mengumpat. Terkadang-kadang ia terpaksa melahirkan kemarahannya terhadap orang yang dicela itu, ketika kawan-kawan sekalian menampakkan kemarahan terhadapnya, untuk membuktikan simpatinya kepada kawan-kawan dalam suka dan duka.

  
Nyatalah orang ini telah terlibat dalam sifat mengumpat orang lain, dengan menyebut keaiban-keaiban dan keburukan-keburukannya, disebabkan percampurgaulan yang tidak sihat.
  
Ketiga: Menunjuk-nunjuk kelebihan peribadinya dengan kemegahan dan keistimewaan, iaitu mengangkat dirinya sebagai lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya dari si fulan atau si fulan.
  
Keempat: Hasad dan iri hati, iaitu menyimpan perasaan tidak enak, bila mendengar orang lain dipuji-puji atau disanjung oleh orang ramai, ataupun kerana sesuatu sebab atau yang lain, maka orang itu dihormati dan dimuliakan, sehingga menyebabkan ia merasa bosan terhadapnya. Oleh itu maka timbullah perasaan dengki dan hasad di dalam hatinya, dicubalah berbagai-bagai cara untuk melenyapkan kenikmatan yang dimiliki oleh orang itu, maka tiadalah didapatinya melainkan dengan jalan mencela atau mengumpatnya, sehingga orang ramai berhenti dari memuji-muji orang itu atau menghormatinya, sebab jiwanya tidak tertanggung lagi untuk mendengar segala kepujian dan penghormatan orang ramai terhadap orang itu.
  
Kelima: Menghadirkan diri dalam majlis-majlis pencengkeramaan atau senda gurauan serta menghabiskan masa dengan bergelak ketawa, di mana di dalam majlis-majlis serupa itu, biasanya di sebut berbagai-bagai keburukan dan keaiban orang lain yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Ini boleh berlaku dengan jalan menceritakan perihal orang dengan melahirkan rasa takjub terhadap perilaku orang itu.
  
Keenam: Mengejek-ejek orang dengan tujuan untuk meghinanya. Puncanya ialah sifat takabbur dan bongkak dalam diri sendiri, serta memandang orang lain semuanya rendah, hina, bodoh atau jahil.
  
Selain yang tersebut di atas tadi, ada banyak lagi sebab-sebab yang boleh menarik manusia kepada tercebur dalam bahaya ghibah, atau pengumpatan itu, dan pokok pangkalnya ialah desas-desus syaitan dan hasutannya. Misalnya ia menyebut nama seorang ketika dalam keadaan takjub dengan berkata: Aku hairan si fulan itu. Bagaimana ia boleh duduk seiringan dengan si alim, padahal ia jahil dan bodoh! Takjub semacam ini meskipun benar, tetapi terkira suatu kemungkaran juga.
  
Misal yang lain, jika ia berkata kerana belas kasihan: Kasihan si fulan itu. Aku merasa sedih mengenangkan halnya, dan melihat bahaya yang menimpanya. Padahal ia mengucapkan yang demikian itu benar-benar dari tulus-ikhlas hatinya. Itu juga terkira suatu ghibah.
  
Seterusnya ghibah juga boleh berlaku dalam keadaan marah. Misalnya ia merasa sangat marah, bila melihat seorang melakukan sesuatu kemungkaran di hadapannya, lalu dilahirkannya sikap marahnya itu, dan disebut-sebutkan pula nama pelakunya kepada semua orang. Padahal yang wajib dalam perkara semacam ini, ia merahsiakan nama orang itu dan tidak dijajakan namanya kepada orang lain. Dan sememangnya, tidak ada alasan baginya, mengapa ia mesti memberitahukan nama orang itu kepada orang lain.







ANTARA PENAWAR YANG DAPAT MENGHALANG LIDAH DARI MENGUMPAT 
  
Ketahuilah bahwasanya segala keburukan-keburukan akhlak, dan kelakuan yang terkeji dapat dipulihkan semula dengan pati dan inti ilmu pengetahuan dan amalan.
  
Adapun penawar untuk mengekang lidah dari mengumpat orang secara ringkas, maka hendaklah seseorang itu mengetahui, bahwa suka mengumpat itu akan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah Ta’ala. Tegasnya, bila ia mengumpat orang samalah seperti ia melanggar perintah atau larangan Allah Ta’ala. Maka apabila seseorang itu penuh percaya dengan khabar-khabar (hadis) dan berita-berita yang menegahnya dari ghibah atau mengumpat, hendaklah ia memelihara lidahnya dari mengumpat, kerana takut terjatuh ke dalam dosa. Suatu cara lain yang berguna baginya ialah dengan meneliti diri sendiri terlebih dulu, apakah dalam dirinya itu ada atau tiada keaiban atau keburukan-keburukan. Jika ada, tentulah lebih utama ia membetulkan diri sendiri daripada mengumpat orang lain.
  
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
  
“Bertuahlah orang yang sentiasa bekerja kuat untuk membetulkan diri sendiri, daripada menyebut-nyebut keaiban orang lain.” 
  
Apabila terdapat pada diri seseorang sesuatu keburukan, maka sepatutnya ia merasa malu kerana lalai untuk membetulkan diri sendiri sebaliknya mencuba pula untuk membetulkan orang lain. Seterusnya hendaklah ia faham, bahwa jika ia mendapati orang lain itu bersikap lemah, atau tidak berdaya untuk membetulkan dirinya sendiri. Ini jika keaiban-keaiban atau keburukan itu dilakukan oleh orang itu dengan sengaja dan dengan pilihan sendiri bukan terpaksa. Tetapi jika keaiban atau keburukannya itu memang dari asala semula jadinya, maka mencelanya samalah seperti mencela Tuhan yang menjadikannya. Sebab siapa yang mencela sesuatu ciptaan, maka ia telah mencela penciptanya.


  
Apabila seseorang hamba mendapati dirinya sepi dari keaiban atau keburukan, maka sayugialah hendaknya ia mensyukuri Allah Ta’la yang telah memeliharaya dari segala sifat-sifat yang tidak baik itu. Dan jangan pula ia cuba mengotori peribadinya dengan keburukan-keburukan yang amat tercela kelak. Sebab mencela atau mengumpat orang lain itu diumpamakan seperti memakan daging orang mati, dan ia adalah terkira antara sebesar-besar keaiban.
  
Bahkan jika ia menginsafi dirinya dan bertenang sejenak, niscaya ia akan dapati, bahwa sangkaannya yang dirinya itu suci dari segala keaiban dan keburukan itu adalah salah. Ini membuktikan juga, bahwa ia masih belum kenal betul-betul dengan diri sendiri. Orang yang menganggap dirinya tidak pernah bersalah adalah berdosa besar.
  
Cara yang lain untuk menjaga diri dari ghibah, ialah dengan memahami, bahwa orang yang dicelanya itu akan merasakan pedihnya celaan itu, sama seperti dirinya sendiri bila dicela oleh orang lain. Jika sekiranya ia tidak meredhai orang lain mencelanya, maka sewajarnyalah ia juga tidak meredhai orang lain mencelanya, maka sewajarnyalah ia juga tidak meredhai sesuatu bagi orang lain, sebagaimana ridak diredhainya sesuatu itu bagi dirinya sendiri.
  
Kesimpulannya: Sesiapa yang memang kuat keimanannya tentulah lidahnya akan terpelihara dari ghibah atau mengumpat orang lain.






JENIS MENGUMPAT YANG DIBOLEHKAN.

Sebagaiamana kita sama maklum bahawa hukum mengumpat adalah haram. Mengumpat ialah menceritakan tentang aib atau keburukan seseorang yang apabila orang tersebut mendengarnya maka ia akan marah dan benci.
Dalam hal ini Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata: Ketahuilah bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu dan mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting tidak mungkin tercapai kecuali dengannya. Mengumpat yang diperbolehkan-oleh agama itu ada enam jenis:

KES PENGANIAYAAN
Mengadukan kezaliman (at-tazhallum). Boleh bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadhi, atau yang memiliki kekuasaan hukuman ataupun pihak yang berwajib. Ia dapat menegakkan keadilan, misalnya dengan mengatakan Si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara seperti ini dan sebagainya.

MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN

Permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’anah ‘ala taghyiril munkar wa raddal ‘ashi ila ash shawab). Seseorang itu boleh menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan si  fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran. Dengan kata lain, maksud penceritaan itu mesti menuju kepada terhapusnya suatu kemungkaran. Jika pengaduan itu tidak bertujuan untuk mencegah kemungkaran, maka hukumnya adalah haram.

MINTA  FATWA

Permintaan fatwa (al istifta). Misalnya, seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini. Lalu apa yang harus aku lakukan padanya?; Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku, dan terlindung dari kezaliman itu? Atau apa sahaja pertanyaan yang seperti itu. Maka hukumnya boleh jika diperlukan. Tetapi lebih tepat dan lebih afdal jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang, atau seorang suami yang telah melakukan hal seperti ini? Oleh itu, ia akan dapat memperoleh jawapan tanpa perlu menceritakan perinciannya iaitu tanpa perlu menyebut siapa orangnya dan sebagainya. Meskipun demikian, tetap dibolehkan untuk melakukan perincian (at ta’yin), sebagaimana yang akan diceritakan di dalam hadits dari Hindun seperti di
bawah nanti. 

MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI

Mengingatkan kaum muslimin agar sentiasa berwaspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzirul muslimin min asy syarr wa nashihatuhum). Terdapat beberapa situasi antaranya adalah ; menceritakan keburukan sifat orang yang memang perlu disebutkan keburukannya (jarhul majruhin) iaitu dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan, dan sebagainya). Hal ini dibolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh menjadi wajib untuk suatu keperluan tertentu. Contoh lainnya adalah meminta pandangan atau pendapat (musyawarah) tentang seseorang calon suami/isteri yang bakal di nikahi (mushaharah), kerjasama, memutuskan kerjasama, mua’amalat dan lain sebagainya, atau tentang hubungan kejiranan. Maka wajib bagi orang yang dimintai pendapat itu untuk tidak menyembunyikan maklumat berkenaan orang yang ingin diketahui. Bahkan ia mesti menyebutkan sikap-sikap buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat. Contoh lainnya lagi adalah jika seseorang melihat orang lain yang belajar agama pada orang yang berbuat bidaah atau orang fasik dengan niat untuk mendapatkan ilmu dari pelaku bidaah dan orang fasik tersebut, lalu dengan itu dikhuatiri ia akan mendapat kemudaratan, maka ia mesti menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenarnya. Dengan syarat, dia benar-benar bermaksud untuk memberi nasihat. Hal ini berkemungkinan untuk terjadinya kekeliruan kerana kadangkala si pemberi nasihat memiliki rasa cemburu dan iri hati sehinggakan syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan rasa cemburu dan iri hati. Syaitan menghadirkan bayangan padanya bahawa hal itu adalah nasihat dan akhirnya ia terjerumus dalam fitnah.

Hal ini merangkumi situasi di mana seseorang itu memiliki kekuasaan dan dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya. Terdapat kemungkinan yang berlaku iaitu dia memang tidak layak atau fasiq mahupun lalai, atau yang sejenis dengannya. Maka, adalah wajib hal itu dilaporkan kepada orang atasan yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripadanya agar kelalaian itu dapat diatasi atau digantikan dengan orang yang lebih berkebolehan. Orang atasan tersebut mestilah mengambil pendekatan yang sesuai dengan  keadaan orang yang lalai tersebut tanpa berlengah dan sepatutnya berusaha menasihati si pelaku kesalahan itu agar istiqamah ataupun menggantikannya dengan orang lain yang lebih amanah.

JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID’AH SECARA TERANG

Seseorang  yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujahir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya. Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujaharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

 SEBAGAI TANDA PENGENALAN

Panggilan  nama atau gelaran(at-ta’rif). Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) ataual-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut


namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain. Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari di gunakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan disepakati oleh sebahagian besar mereka. Berikut adalah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan mengumpat/ghibah di dalam keadaan seperti di nyatakan di atas adalah di bolehkan:
عن عائشة رضي الله عنها أن رجلا استأذن على النبي صلى الله عليه وسلم فقال‏:‏ “ائذنوا له، بئس أخو العشيرة‏؟‏ ‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏‏.‏

Dari Aisyah radhiallahu anha bahwa seseorang meminta izin pada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. [Muttafaq Alaih]

Al Bukhari berhujjah dengan hadis ini mengenai kebolehan berghibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).
وعنها قالت‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ما أظن فلانًا وفلانًا يعرفان من ديننا شيئًا‏”‏ ‏(‏‏(‏رواه البخاري‏)‏‏)‏‏.‏ قال الليث بن سعد أحد رواة هذا الحديث‏:‏ هذان الرجلان كانا من المنافقين

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. [HR al Bukhari]. Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadits ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.






وعن فاطمة بنت قيس رضي الله عنها قالت‏:‏ أتيت النبي صلى الله عليه وسلم، فقلت‏:‏ إن أبا الجهم ومعاوية خطباني‏؟‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏‏”‏أما معاوية،
فصعلوك لا مال له ، وأما أبوالجهم، فلا يضع العصا عن عاتقه‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏


Dari Fathimah binti Qays radhiallahu anha, ia berkata: aku mendatangi Nabi Sallallahu Alaihi wa sallam lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. [Muttafaqunalaih]

Dan dalam riwayat Muslim, haditsnya berbunyi:
‏وأما أبو الجهم فضراب للنساء‏
Adapun Abul Jahm ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya. Juga dikatakan bahwa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari bahunya adalah katsiirul asfaar, yakni banyak bepergian atau merantau.

وعن زيد بن أرقم رضي الله عنه قال‏:‏ خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في سفر أصاب الناس فيه شدة، فقال عبد الله بن أبي‏:‏ لا تنفقوا على من عند رسول الله حتى ينفضوا وقال‏:‏ لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل فأتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأخبرته بذلك، فأرسل إلى عبد الله بن أبي ، فاجتهد يمينه‏:‏ ما فعل، فقالوا‏:‏ كذب زيد رسول الله صلى الله عليه وسلم فوقع في نفسي مما قالوا شدة حتى أنزل الله تعالى تصديقي ‏{‏إذا جاءك المنافقون‏}‏ ثم دعاهم النبي صلى الله عليه وسلم، ليستغفر لهم فلووا رءوسهم‏.‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)


Dari Zaid bin Arqam radhiallahu anhu, ia berkata: "kami pernah keluar bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesusahan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bersurai meninggalkan Rasulullah.. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa sallam, lalu aku

menceritakan hal tadi, maka beliau mengutus kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahwa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam”. Lalu beliau(Sallallahu alaihi wa Sallam) mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan hingga Allah Subhanahu wa Taala menurunkan apa yang dapat membenarkanku “apa bila datang orang-orang munafiq” (TMQ Al Munaafiquun:1). Kemudian Nabi SAW memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka." [Muttafaq alaih] 
وعن عائشة رضي الله عنها قالت‏:‏ قالت هند امرأة أبي سفيان للنبي صلى الله عليه وسلم ‏:‏ إن أبا سفيان رجل شحيح وليس يعطيني ما يكفيني وولدي إلا ما أخذت منه، وهو لا يعلم‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)

Dari Aisyah radhiallahu anha, ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang pelik, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa pengetahuannya”. Lalu Nabi Sallahu Alaihi wa Sallam berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” [Muttafaq Alaih]

0 comments:

Post a Comment