Tuesday, June 28, 2011

MAKSUD, SEJARAH DAN KEPENTINGAN ILMU HADIS

MAKSUD  ILMU HADIS
Ilmu Hadis ialah pengetahuan yang menyatakan tentang hakikat sesuatu perkara yang berkaitan dengan percakapan, perbutan, pengakuan dan sifat-sifat Rasulullah Salallhu Alaihi Wasallam. Maksudnya apabila kita mempelajari ilmu Hadith akan membolehkan kita mengetahui hakikat kebenaran dan dapat menilai sesuatu hadith.
 Pada zaman kita ini kita tidak sempat berjumpa dan mendampingi baginda, kebenaran sesuatu hadith hanya dapat diketahui melalui kajian-kajian mengenai periwayat hadith dan kaedah yang digunakannya dalam meriwayatkan hadith. Tujuannya adalah untuk  mengetahui dan menilai kedudukan perawi( sanad) dan matan (lafaz) hadis. Melalui kaedah ini, seseorang itu dapat mengetahui kedudukan atau martabat sesebuah hadis dengan mengkaji sifat- sifat perawi dan jumlah mereka serta kesahihan matan hadis yang diriwayatkan menjurus kepada kedudukan sesebuah riwayat sebagai dalil atau hujah baik di dalam akidah mahupun syariat.

Menggunakan kaedah ini, ulama’ hadis mampu megumpulkan hadis yang berselerak dan bercampur aduk ketegorinya di tangan umat islam dan membentuk satu khazanah berharga untuk panduan umat Islam sebagaimana terhasilnya karya- karya agung seperti : Sahih al- Bukhari, Sahih Muslim, Musnad Ahmad Bin Hambal, Sahih Ibn Hibban, Sunan Abu Daud, al- Muwatta’ dan kitab- kitab hadis lain yang dapat kita lihat dan manfaatkan pada hari ini.







SEJARAH PERKEMBANGAN ILMU HADIS.

PERINGKAT PERTAMA
            Peringkat ini bermula daripada zaman sahabat sehinggalah ke akhir kurun pertama hijrah atau lebih jelas lagi ianya bermula selepas daripada kewafatan baginda Rasulullah saw. Pada zaman Rasulullah saw masih hidup, sudah ada usaha-usaha untuk mengumpul dan menulis hadis sebagaimana yang dilakukan oleh Abdullah bin Amru. Perkara ini diakui oleh Abu Hurairah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Beliau mengakui Abdullah bin Amru lebih banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah hanya disebabkan beliau menulis hadis dan Abu Hurairah tidak menulis. Namun begitu ada hadis yang melarang sahabat-sahabat baginda daripada mencatit apa-apa yang berkaitan dengan Rasulullah kerana takut ianya boleh melalaikan mereka daripada al-Quran. Tetapi ulama telah memberi pandangan bahawa ada hadis yang membenarkan mereka mencatit dan menulis, secara langsung ia telah memansuhkan hadis yang melarang.
            Selain itu Khalifah Umar pernah menyarankan proses mengumpul hadis, tetapi setelah beliau beristikharah selama sebulan maka natijahnya, beliau menolak cadangan mengumpul hadis dalam bentuk penulisan ekoran daripada sikap ambil beratnya terhadap Sunah takut ianya bercampur aduk dengan kalam Allah. Percubaan Saidina Umar ini menunjukkan kepada kita bahawa pengumpulan hadis dari sudut hukum adalah harus dan beliau tidak berbuat demikian adalah kerana dikhuatiri sahabat pada waktu itu lebih tertumpu kepada Sunnah tidak kepada kitab Allah.
            Sikap ambil berat sahabat terhadap sunnah juga dapat kita perhatikan melalui usaha mengumpul dan memastikan kesahihan hadis sehinggakan mereka sanggup bermusafir beribu batu dengan hanya menaiki unta semata-mata untuk mencari hadis sahih sebagaimana yang berlaku ke atas Jabir bin Abdullah yang bermusafir selama sebulan ke negeri Syam, mencari dengan Abdullah bin Unais al-Ansari bagi mendapatkan hadis daripada Rasulullah saw. Begitu juga sebelum berakhirnya zaman sahabat telah kedapatan Sunnah dalam bentuk pengumpulan dan pembukuan antaranya " as-Sahiifah as-Saadiqah" oleh Abdullah bin Amru, " as-Sahiifah" oleh Jabir bin Abdullah al-Ansaari, " as-Sahiifah as-Sahiihah" oleh Hamam bin Munabbih dan " sahiifah Ali" oleh Saidina Ali. Begitulah perjalanan Sunnah pada kurun pertama.

PERINGKAT KEDUA
            Peringkat ini bermula dari awal kurun ke dua hingga ke awal kurun ketiga hijrah. Pada peringkat ini boleh dikatakan ilmu hadis telah sempurna dikumpul dan dibukukan. Hal demikian memandangkan kepada beberapa faktor yang mendorong ulama supaya membukukan sunnah. Antara faktor-faktor tersebut, kurangnya daya ingatan manusia pada zaman itu tidak sebagaimana yang zaman sahabat dan taabi’iin. Ianya telah diakui oleh Imam az-Zahabi dalam kitabnya "Tazkiratul Huffaz". Begitu juga telah lahirnya ajaran sesat serta kumpulan yang telah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar seperti Mu’tazilah, Khawarij dan lain-lain.
            Faktor tersebut telah mendorong Kalifah Umar bin Abdul Aziz selaku pelopor kepada pembukuan Sunnah ini, mengarahkan ulama untuk mengumpul segala hadis dengan tujuan untuk menyelamatkan Sunnah daripada penyelewengan dan hadis-hadis Maudhu’ (hadis yang direka dan dinisbahkan kepada Rasul). Begitu juga pada waktu itu telah timbulnya cabang ilmu hadis iaitu ilmu " al-Jarh wa at-Ta’diil" bagi mengkritik periwayat hadis.
            Hal ini penting untuk menyelamatkan Sunnah daripada tujuan buruk mereka mencipta hadis semata-mata untuk kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu. Ulama telah mula berhati-hati didalam mengambil hadis daripada periwayat hadis dan tidak meriwayatkan hadis daripada periwayat hadis yang tidak dikenali peribadinya. Ulama hadis telah memberikan perhatian khusus pada isi hadis dan sanadnya. Begitulah berakhirnya peringkat kedua.

PERINGKAT KETIGA
            Peringkat ini bermula dari kurun ketiga sehingga pertengahan kurun keempat Hijrah. Kurun ketiga merupakan kurun keemasan bagi Sunnah Nabawiyyah kerana jika dilihat daripada sudut perkembangan ilmu Hadis, kita nampak pada kurun ini Sunnah telah dibukukan secara keseluruhan. Ulama Hadis telah mempelbagaikan pembukuaan Sunnah dan ini menunjukkan kepada kita bahawa seninya Ulama Hadis dalam membukukan Ilmu Hadis sebagai contoh: ada Ulama membukukan hadis dalam bentuk Masaanid yang membawa maksud, kumpulan hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh para sahabat, seperti " Musnad Imam Ahmad".
Manakala Imam Bukhari dan Muslim pula mengumpul hadis dalam bentuk " al-Jaami’ as-Sahiih" yang bermaksud, kumpulan hadis-hadis yang meliputi sebahagian besar perkara-perkara penting dalam agama termasuklah feqah, Hari Kiamat, Adab, Sirah dan lain-lain.
Pada waktu ini juga, telah wujudnya ilmu khas tentang jenis-jenis hadis seperti Hadis sahih, Hasan, Mursal, dan sebagainya.

KEPENTINGAN ILMU HADIS
Ilmu hadis merupakan salah satu ilmu syariat yang wajib dipelajari. Semua hukum- hukum syarak berpandukan hadis. Sesiapa yang tidak mempelajari ilmu hadis, dia akan terjerumus dalam kesilapan. Antara kepentingannya:

1. Bagi ulama-ulama tafsir, mereka mampu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran berpandukan hadis. Apa yang jelas daripada al-Quran, umat Islam wajib beramal terus tanpa sebarang takwil. Apa yang kurang jelas, para ulama hadis akan berusaha keras mencari hadis untuk
mentafsirkannya.

2. Bukti seorang yang fakih (mendalam) ilmu pengetahuan agamanya dalam bidang fikah,  ialah orang yang paling banyak menghafaz hadis dan memahami selok belok ilmu hadis seperti naskah dan mansukh, jarh dan ta'dil, sahih, daif atau palsu sesebuah hadis.

3. Bagi ulama usul pula, mereka mampu mencipta kaedah-kaedah usul bagi menetapkan sesuatu hukum. Timbullah bermacam kaedah seperti semua benda yang memabukkan haram, sesuatu yang boleh menyebabkan kebinasaan haram dan banyak lagi. Kaedah-kaedah inilah yang menjadi asas dalam pelabagai masalah agama.

4. Dengan mengagungkan hadis daif (lemah) atau palsu menyebabkan umat Islam jauh terpesong dari landaan syarak sebenar. Dengan mempelajari ilmu hadis, akal yang waras akan menolak sebarang pemalsuan dan fakta daif yang tidak boleh dijadikan sandaran hukum.

5. Golongan yang mempelajari ilmu hadis sama sekali tidak akan memperkatakan tentang hukum-hakam syarak tanpa ilmu pengetahuan yang sahih. Apa yang tidak sampai kepada mereka, mereka berdiam diri. Mereka sanggup meninggalkan amalan yang bercanggah dengan hadis sahih setelah menemuinya. Malah, mereka sanggup membatalkan segala pendapat mereka sama ada ketika hidup atau selepas mati jika menyanggahi hadis sahih.

 Antara punca perselisihan pendapat yang kian menular dan tidak dapat dibendung adalah kerana umat Islam sudah tidak prihatin terhadap kepentingan mempelajari ilmu hadis. Antara ulama yang buruk akhlaknya sanggup mengeluarkan pendapat tanpa meneliti daripada al-Quran dan hadis yang disepakati kesahihannya. Perbuatan ini akhirnya menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

0 comments:

Post a Comment