Tuesday, June 28, 2011

PERLEMBAGAAN MADINAH

PERLEMBAGAAN MADINAH

Sejarah Pembentukan Perlembagaan Madinah
Madinah terletak di daerah Hijaz satu bahagian dari semenanjung arab yang terletak di antara dataran tinggi Najd dan daerah pantai Tihamah. Madinah Al-Munawwarah adalah sebuah kota yang dahulunya dikenali sebagai Yathrib sebelum hijrah rasulullah s.a.w. ke sana bersama golongan muhajirin. Sebelum itu Madinah diduduki oleh dua suku arab yang utama iaitu suku kaum auz dan khazraj. Mereka sering hidup bertelagah sebelum kedatangan islam dengan mengamalkan budaya arab jahiliyah.
            Setelah datangya islam melalui dakwah rasulullah, kedua kaum yang bermusuhan ini telah memeluk islam dan berdamai. Rentetan dari peristiwa perjanjian Aqabah yang membawa kepada penghijrahan rasulullah dan orang islam makkah(muhajirin) ke Madinah. Penduduk Madinah (ansar) menjemput rasulullah untuk datang ke Madinah.
Kedatangan rasulullah ke Madinah telah membawa banyak perubahan dalam membina Yathrib ataupun Madinah setelah kedatangan rasulullah kearah sebuah nagara dengan nabi Muhammad sebagai ketua negara Madinah. Baginda telah mempersaudarakan kaum ansar dan muhajirin berasaskan ikatan akidah dan ukhuwah antara mereka dan seterusnya membina masjid di Madinah iaitu sekarang dikenali sebagai masjid Nabawi.
Dari segi sejarah, asas kepada pengubalan piagam ini adalah dibuat dalam dua pihak iaitu pihak pertama adalah rasulullah SAW sendiri manakala pihak kedua adalah antara orang Islam dengan orang Yahudi di satu pihak dan orang Islam sesama  Islam, yakni antara Muhajirin dan Ansar di pihak yang lain. ketiga-tiga gologan ini dipanggil ahl al-Sahifah menunjukkan mereka sendiri mempersetujui piagam yang digubal  pada tahun 622 Masihi bersamaan 1 Hijrah walaupun tarikh sebenar terbentuknya piagam ini masih belum jelas kerana ahli sejarah seperti Ibnu Ishaq dan Ibnu Hisham tidak menyebut secara teperinci namun apa yang pasti pigam ini wujud di awal tempoh pemerintahan kepimpinan nabi.


PERLEMBAGAAN MADINAH

Dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi atau negara yang berasaskan rakyat harus mempunyai sebuah perlembagaan yang mengatur dan menjadi petunjuk bagi sesebuah negara. Tidak mungkin sesebuah negara dianggap sebagai demokrasi sekiranya tidak mempunyai suatu perlembagaan. Sebaliknya, suatu negara yang tidak mempunyai perlembagaan, akan dikatakan negara yang diktator, anarki dan autokrasi.

Piagam Madinah ialah perlembagaan yang pertama di dunia mendahului segala perlembagaan yang lain. Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpin iaitu Nabi Muhammad s.a.w untuk diterima pakai oleh rakyatnya, iaitu penduduk Madinah. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah, selain itu Al-Quran, yang telah menjadi tatacara pemerintahan di negara kota itu.

            Dalam perlembagaan Madinah terdapat beberapa aspek penting yang di titik beratkan antaranya, Pengakuan terhadap Rasullah s.a.w sebagai Ketua Negara Madinah yang wajib dipatuhi dan dihormati. Apa -apa masalah besar antara penduduk Islam dengan penduduk bukan Islam mestilah dirujuk kepada ketua negara untuk diselesaikan. Walaubagaimanapun, semua ketua kaum mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri sekiranya berpatutan di selesaikan di antara mereka sahaja.

Selain itu, Semua penduduk Madinah hendaklah hidup sebagai satu Ummah yang tidak terpengaruh dengan apa – apa elemen yang tidak baik dari luar dan perlu bersatu-padu, berkerjasama dan bertanggungjawab mempertahankan negara dari apa-apa serangan musuh. Manakala wahyu dijadikan sebagai sumber dan asas dalam perlembagaan. Penduduk Madinah bebas untuk mengamalkan agama masing-masing dan tiada gangguan dan paksaan dalam hal-hal keagamaan. Keselamatan penuduk juga terjamin selama mana mereka tidak melanggar perlembagaan tersebut.
Sebaik sahaja tiba di Madinah Nabi Muhammad SAW telah menyusun dan melaksanakan beberapa asas utama untuk membina sebuah masyarakat baru yang bersatu padu dan mampu bekerjasama di bawah prinsip-prinsip Islam di antara perkara asas yang telah dilaksanakan oleh baginda ialah mendirikan Masjid, mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin dan mengadakan perjanjian dengan penduduk-penduduk Madinah iaitu Piagam Madinah. Pembentukan Piagam Madinah terbahagi kepada dua bahagian.

Bahagian pertama ditulis ketika Rasulullah sampai di Madinah. Bahagian ini merangkumi perjanjian damai dengan puak Yahudi. Perjanjian ini ditulis bagi menjamin peranan puak Yahudi kepada Madinah yang dijadikan Negara Islam. Selain itu, ianya juga adalah satu cubaan bagi mengelakkan pengkhianatan kaum Yahudi dengan berkomplot untuk menjatuhkan Madinah. Sebagai balasan kepada Yahudi, perjanjian itu juga adalah sebagai hak yang diberikan untuk menjaga keselamatan mereka di Madinah. Ianya di bentuk kerana sebahagian Yahudi takut akan kehilangan hak mereka dan bagi mengelakkan penentangan dari mereka.

Bahagian kedua Piagam Madinah pula ditulis selepas Perang Badar. Selepas perang Badar, Islam di Madinah menjadi semakin kuat. Oleh itu, Bahagian kedua ditulis bagi menjamin kedudukan dan hak Muhajirin dan Ansar. Kedudukan dan hak kedua-dua pihak perlu dijaga bagi menjamin kestabilan masyarakat di Madinah. Dengan penulisan bahagian kedua, tidak timbul rasa ketidakpuasan pada hati setiap pihak. Selain itu, ia ditulis bagi menjalin hubungan yang lebih rapat antara Muhajirin dan Ansar. Setiap orang Islam dianggap sebagai saudara di dalam Islam, jadi secara tidak langsung ia mewujudkan suatu komuniti Islam yang kuat di bumi Madinah.


PERPADUAN UMMAH DALAM PERLEMBAGAAN MADINAH

            Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW yang membawa ajaran Islam di Madinah, penduduk Madinah hidup dalam secara berkelompok, berpuak-puak, bermusuhan antara satu sama lain, benci-membenci, dan bergaduh sesama sendiri. Semangat asabiyyah dan semangat kabilah telah tertanam dalam diri mereka menyebabkan tiada suatu asas yang dapat menyatukan semua segmen di Madinah. Di tambah lagi dengan kelicikan puak Yahudi yang sengaja menyemai permusuhan di antara puak Aus dan Khazraj. Sikap Yahudi yang menjadi ‘batu api’ ini dapat dilihat apabila berlaku pertarungan di antara orang Arab, mereka akan menyebelahi mana-mana puak yang mereka kehendaki dalam pertarungan. Umpamannya, pada mulanya bani al-Nadir, bani Qurayzah dan bani Qaynuqa menyebelahi puak Khazraj menentang puak Aus. Tetapi, tidak lama sebelum Hijrah, disebabkan penentangan sesetengah golongan dalam puak Khazraj, hanya bani Qaynuqa sahaja yang masih terus menyebelahi puak itu, sedangkan bani al-Nadir dan bani Qurayzah telah menyebelahi puak Aus.

Keadaan penyatuan di Madinah semakin rumit apabila muncul pula puak Quraysh yang beragama Islam (Muhajirin) berhijrah ke Madinah. Hal ini merupakan cabaran utama Nabi Muhammad SAW untuk membentuk sebuah masyarakat baru yang bersatu padu dan mampu bekerjasama di bawah prinsip-prinsip Islam. Orang Arab memang terkenal dengan semangat asabiyyah. Mereka sangat bermegah dengan keturunan dan memandang rendah kepada kabilah lain. Mereka sanggup menyerang kabilah lain dengan sebab yang kecil. Keadaan masyarakat Madinah yang ketika itu terdiri daripada pelbagai suku, puak, kabilah seperti kaum Aus dan Khazraj, golongan Quraysh dari Makkah, orang Yahudi dan Nasrani.

Keadaan ini memerlukan Nabi Muhammad SAW melaksanakan suatu langkah dan kaedah yang menjadi asas untuk  menyatukan mereka semua.Antara langkah yang telah disusun oleh Nabi Muhammad SAW untuk dilaksanakan sebagai cara untuk menyatukan penduduk Madinah ialah dengan pembinaan Masjid al-Nabawi, mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin dan mengadakan perjanjian dengan penduduk Madinah iaitu pembentukan Piagam Madinah. Namun, fokus lebih diberikan kepada pembentukan Madinah sebagai asas kepada perpaduan di kalangan masyarakat Madinah. Hal ini kerana perjanjian ini melibatkan pelbagai lapisan Masyarakat yang berbeza dari sudut keagamaan serta kebudayaan. Pembentukan Piagam Madinah ini telah berjaya menentukan hak-hak dan tugas-tugas orang-orang Islam dan penduduk-penduduk tempatan di samping mewujudkan persefahaman dengan orang-orang bukan Islam terutamanya Yahudi.

Umumnya Sahifah al-Madinah ini telah menentukan kedudukan Nabi Muhammad SAW dan penduduk Madinah yang terdiri daripada masyarakat Islam, Yahudi dan Mushrikun. Ianya menyusun pembentukan sebuah negara kota di Madinah serta menggariskan hak-hak tanggungjawab dan peraturan-peraturan di antara mereka berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Melalui Sahifah Madinah ini kesejahteraan dan keamanan Madinah dapat dikekalkan meskipun terdapat pihak (Yahudi) yang cuba mengingkarinya.

Sebelum kedatangan Islam, mereka tidak mempunyai satu sistem perundangan yang jelas dapat dijadikan panduan kepada seluruh penduduk. Sungguhpun terdapat asas perundangan yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka iaitu keadilan, kebebasan dan persamaan, semua asas itu tidak dilaksanakan dengan baik. Kesannya berlaku ketidakadilan, berleluasanya kezaliman, tiada kebebasan individu dan rakyat tidak diikat oleh sistem perundangan yang baik. Selepas pembentukan Piagam Madinah, telah wujudnya satu sistem yang dapat menyatukan seluruh penduduk Madinah. Masyarakat Islam dari zaman Nabi Muhammad di Madinah sehinggalah sekarang telah berjaya menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam bidang perundangan dan sistem kehakiman.

0 comments:

Post a Comment